21 June, 2022

PROGRAM TRANSISI TAHUN 1 2022/2023

Program Transisi pada tahun ini telah dijalankan pada 21 Mac hingga 15 April 2022 yang melibatkan seramai 61 orang murid Tahun 1 dari kelas 1 Dinamik dan 1 Progresif. Segala aktiviti guru bersama murid berjalan seperti yang telah dirangka dan mengikut jadual pelaksanaan yang telah disediakan oleh penyelaras. Murid-murid juga dilihat bersemangat dan memberikan reaksi yang positif sepanjang mengikuti program ini. Seperti yang diunjurkan, Program Transisi Tahun 1 telah dilaksanakan mengikut dua fasa, iaitu Fasa Penyesuaian dan Fasa Kesediaan.

 

Fasa Penyesuaian


Fasa Penyesuaian dilaksanakan selama dua minggu bermula pada 21 Mac 2022 sehingga 1 April 2022 mengikut peruntukan waktu yang telah dicadangkan. Semasa dalam fasa ini, murid-murid banyak didedahkan kepada aktiviti suai kenal dan penyesuaian terhadap persekitaran sekolah dan perhubungan bersama rakan sekelas. Sepanjang berlangsungnya fasa ini, murid banyak didedahkan kepada aktiviti suai kenal, aktiviti fizikal, aktiviti rutin, aktiviti pembelajaran, perbualan awal dan juga sistem rehat. Kesemua fasa ini dilaksanakan oleh guru matapelajaran mengikut jadual kelas yang telah ditetapkan. Semua guru matapelajaran telah melaksanakan aktiviti-aktiviti yang membolehkan murid menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah serta membina hubungan baik dan keyakinan murid untuk berkomunikasi dengan rakan dan guru. 

Fasa Kesediaan


Fasa Kesediaan telah berlangsung selama dua minggu mulai 4 hingga 15 April 2022 juga mengikut jadual pelaksanaan. Sepanjang tempoh ini, guru matapelajaran telah menggunakan pendekatan bertema yang mana seperti yang telah dirancang dan disediakan pada peringkat awal. Dalam fasa ini, guru telah menghubungkaitkan pengalaman sebenar murid dalam pelbagai disiplin ilmu. Fasa ini juga membolehkan guru matapelajaran menggunakan ilmu dalam bidang masing-masing tapi berpusatkan kepada tema yang diberi. Antara tema yang telah digunakan dalam tempoh ini ialah seperti Diri Saya, Dunia di Sekeliling Saya, Alam Sekitar, Keselamatan, Sains dan Teknologi dan Kesihatan.


   
Satu Majlis Penutupan Minggu Transisi Tahun Satu juga telah dilaksanakan pada hari terakhir minggu transisi, iaitu pada 15 April 2022. Majlis ini diadakan sebagai satu simbolik kepada berakhirnya penyertaan murid tahun 1 dalam menjalani program transisi. Upacara penutup ini telah berlangsung di Dewan Bestari dan disertai oleh semua murid  dan guru yang terlibat dalam Program Transisi. Semua murid telah diberikan sedikit cenderamata sebagai tanda berakhirnya Program Transisi dan beberapa murid dipilih sebagai pemenang bagi kategori yang dicalonkan. Antara anugerah yang disediakan ialah Murid Paling Aktif, Murid Sahsiah Terpuji, Murid Berkepimpinan dan Murid Terbaik Akademik. Selain itu, anugerah utama bagi majlis ini ialah Tokoh Murid Transisi Lelaki dan Perempuan yang mana masing-masing dimenangi oleh adik Muhammad Akid Firas dari kelas 1 Progresif dan adik Qhaira Qhairina dari kelas 1 Dinamik.

​Selain itu, sewaktu dalam majlis penutup juga, murid-murid turut dipertontonkan dengan persembahan daripada rakan-rakan mereka iaitu persembahan bercerita dan juga persembahan pantun. Semua guru-guru matapelajaran yang mengajar kelas Tahun 1 juga diberi penghargaan atas sokongan mereka dalam melaksanakan semua aktiviti yang dirancang sepanjang tempoh Minggu Transisi Tahun 1. Majlis penutupan ini diakhiri dengan sesi fotografi semua murid Tahun 1 bersama barisan pentadbir.

 


   

   





No comments:

Post a Comment