30 June, 2022

MESYUARAT AGUNG PIBG SK (FELDA) SELANCAR 2 KALI KE-36 SESI 2022/ 2023

Pada tanggal 28 Jun 2022, telah berlangsung Mesyuarat Agung PIBG SK (Felda) Selancar 2 Kali Ke-36. Mesyuarat Agung PIBG kali ini telah dirasmikan oleh En. Mohd Radzi bin Abdullah, Pengerusi Biro Pendidikan Parlimen Rompin. Beliau juga turut sudi merasmikan Laman 'I Love SKSD'. Majlis perasmian ini berlangsung dengan cukup meriah.

Sekalung penghargaan diberikan kepada AJK PIBG dan guru-guru SKSD atas kerjasama yang amat baik dan juga ibu bapa/ penjaga yang sudi meluangkan masa untuk hadir memeriahkan lagi majlis tersebut. Tidak ketinggalan juga kepada pada penyumbang hamper dan hadiah bagi sesi cabutan bertuah. Sebanyak 201 hamper telah di terima untuk dijadikan hadiah cabutan bertuah. Semoga kerjasama yang utuh ini berkekalan selamanya.



















23 June, 2022

PROGRAM BIMBINGAN BERFOKUS TS25 SISC+ PPD ROMPIN

 Pada 22 Jun 2022, Sekolah Kebangsaan (Felda) Selancar 2 telah menjadi tuan rumah untuk Program Bimbingan Berfokus TS25 SISC+ PPD Rompin. Timbalan PPD Sektor Pembelajaran, En. Mohd Ruhaili bin Ab Razak dan tujuh orang SISC+ dari Pejabat Pendidikan Daerah Rompin telah bertandang bagi memberikan khidmat kunjung bantu kepada sekolah-sekolah yang berada di Wilayah Selancar. SISC+ yang hadir adalah En. Hj. Hashim bin Sulong (Bidang Sains Sosial), En. Azman bin Abdullah (Bidang Sains Sosial), Pn. Norharlinda binti Harun (Bidang Sains & Matematik) En. Mohd Shahril-lizan bin Azahan (Bidang Sains & Matematik), En. Abdul Manap bin Said (Bidang Bahasa), Pn. Thaviky A/P Tahamly Rajah (Bidang Bahasa) dan En. Hairul Hazman bin Othman (Bidang TVET). Program ini juga turut disertai oleh Guru Besar dari SK (LKTP) Selancar 1, SK (Felda) Selancar 2 dan SK (LKTP) Selancar 3, dan wakil Pengetua SMK Perwira Jaya. Semoga program ini dapat memberikan input yang berguna kepada semua sekolah yang menyertai bagi memantapkan lagi  perancangan dan pelaksanaan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).








           



21 June, 2022

PROGRAM TRANSISI TAHUN 1 2022/2023

Program Transisi pada tahun ini telah dijalankan pada 21 Mac hingga 15 April 2022 yang melibatkan seramai 61 orang murid Tahun 1 dari kelas 1 Dinamik dan 1 Progresif. Segala aktiviti guru bersama murid berjalan seperti yang telah dirangka dan mengikut jadual pelaksanaan yang telah disediakan oleh penyelaras. Murid-murid juga dilihat bersemangat dan memberikan reaksi yang positif sepanjang mengikuti program ini. Seperti yang diunjurkan, Program Transisi Tahun 1 telah dilaksanakan mengikut dua fasa, iaitu Fasa Penyesuaian dan Fasa Kesediaan.

 

Fasa Penyesuaian


Fasa Penyesuaian dilaksanakan selama dua minggu bermula pada 21 Mac 2022 sehingga 1 April 2022 mengikut peruntukan waktu yang telah dicadangkan. Semasa dalam fasa ini, murid-murid banyak didedahkan kepada aktiviti suai kenal dan penyesuaian terhadap persekitaran sekolah dan perhubungan bersama rakan sekelas. Sepanjang berlangsungnya fasa ini, murid banyak didedahkan kepada aktiviti suai kenal, aktiviti fizikal, aktiviti rutin, aktiviti pembelajaran, perbualan awal dan juga sistem rehat. Kesemua fasa ini dilaksanakan oleh guru matapelajaran mengikut jadual kelas yang telah ditetapkan. Semua guru matapelajaran telah melaksanakan aktiviti-aktiviti yang membolehkan murid menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah serta membina hubungan baik dan keyakinan murid untuk berkomunikasi dengan rakan dan guru. 

Fasa Kesediaan


Fasa Kesediaan telah berlangsung selama dua minggu mulai 4 hingga 15 April 2022 juga mengikut jadual pelaksanaan. Sepanjang tempoh ini, guru matapelajaran telah menggunakan pendekatan bertema yang mana seperti yang telah dirancang dan disediakan pada peringkat awal. Dalam fasa ini, guru telah menghubungkaitkan pengalaman sebenar murid dalam pelbagai disiplin ilmu. Fasa ini juga membolehkan guru matapelajaran menggunakan ilmu dalam bidang masing-masing tapi berpusatkan kepada tema yang diberi. Antara tema yang telah digunakan dalam tempoh ini ialah seperti Diri Saya, Dunia di Sekeliling Saya, Alam Sekitar, Keselamatan, Sains dan Teknologi dan Kesihatan.


   
Satu Majlis Penutupan Minggu Transisi Tahun Satu juga telah dilaksanakan pada hari terakhir minggu transisi, iaitu pada 15 April 2022. Majlis ini diadakan sebagai satu simbolik kepada berakhirnya penyertaan murid tahun 1 dalam menjalani program transisi. Upacara penutup ini telah berlangsung di Dewan Bestari dan disertai oleh semua murid  dan guru yang terlibat dalam Program Transisi. Semua murid telah diberikan sedikit cenderamata sebagai tanda berakhirnya Program Transisi dan beberapa murid dipilih sebagai pemenang bagi kategori yang dicalonkan. Antara anugerah yang disediakan ialah Murid Paling Aktif, Murid Sahsiah Terpuji, Murid Berkepimpinan dan Murid Terbaik Akademik. Selain itu, anugerah utama bagi majlis ini ialah Tokoh Murid Transisi Lelaki dan Perempuan yang mana masing-masing dimenangi oleh adik Muhammad Akid Firas dari kelas 1 Progresif dan adik Qhaira Qhairina dari kelas 1 Dinamik.

​Selain itu, sewaktu dalam majlis penutup juga, murid-murid turut dipertontonkan dengan persembahan daripada rakan-rakan mereka iaitu persembahan bercerita dan juga persembahan pantun. Semua guru-guru matapelajaran yang mengajar kelas Tahun 1 juga diberi penghargaan atas sokongan mereka dalam melaksanakan semua aktiviti yang dirancang sepanjang tempoh Minggu Transisi Tahun 1. Majlis penutupan ini diakhiri dengan sesi fotografi semua murid Tahun 1 bersama barisan pentadbir.

 


   

   





CARTA ORGANISASI SK (FELDA) SELANCAR DUA 2022/23






 

02 June, 2022

KARNIVAL BOLA TAMPAR DAN SUKANEKA KALI KE-24 PERINGKAT SEKOLAH TAHUN 2022

    Pada 25 Mei 2022 sehingga 31 Mei 2022, Unit Kokurikulum SKSD telah menganjurkan Karnival Permainan Bola Tampar dan Sukaneka kali Ke-24. Karnival ini telah melibatkan semua warga SKSD dan telah berlangsung dengan meriah dan dengan semangat kesukanan yang tinggi. 

    Antara pertandingan yang telah dianjurkan ad adalah Pertandingan Bola Tampar, Pertandingan Menyangga Bola Tampar, Pertandingan Servis Bola Tampar yang telah melibatkan penyertaan murid-murid dari tahap dua. Manakala bagi murid tahap satu, telah dianjurkan pelbagai pertandingan sukaneka.

    Rumah Tuah berjaya muncul sebagai Johan Keseluruhan Karnival ini dengan meninggalkan Rumah Jebat ditempat kedua dan Rumah Kasturi ditempat ketiga.